Sistem persekolahan, sistem kemasyarakatan, siar raya konvensional dan maya, institusi keagamaan, perundangan, medan politik dan apa sahaja yang mengisi sesuatu negara berbilang kaum memerlukan titik temu perasaan muhibah itu. Utusan Malaysia dan Utusan Online memulakan 2018 dengan meniupkan sentimen muhibah antara kaum dengan menganjurkan pertandingan video pendek #muhibah sekolah menengah, dan program jerayawara peringkat zon telah dilakukan sepanjang November, Disember dan Januari.

Dengan sokongan syarikat gergasi hartanah, Orando Holdings dan restu serta kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), program itu disusun supaya dapat memenuhi aspirasi Perlembagaan Persekutuan yang diterjemahkan ke dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mahu menghapuskan jurang antara kaum sejak di bangku persekolahan lagi.

Penaja pula mahu meletakkan bahasa Malaysia di pentas dunia, sementara KPM mahu pertandingan ini merangkai titik-titik dalam sistem pendidikan supaya dapat melahirkan kemenjadian murid dan pelajar yang berjati diri Malaysia, bernilai dan beretika.

Pada jerayawara di beberapa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), termasuk satu di Bahagaian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), pihak Kumpulan Utusan memberi taklimat, perbincangan dan seterusnya melancarkan komitmen masing-masing untuk bersama-sama menjayakan agenda penting negara itu.

Pertandingan menawarkan empat hadiah bulanan bernilai RM1,000 setiap satu. Penyertaan hanya untuk pelajar sekolah menengah dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018 dengan empat pemenang akan dipilih setiap bulan. Video yang tidak terpilih sebagai pemenang akan dibawa ke bulan berikutnya.

Untuk menyertai pertandingan ini, pelajar dimestikan like dan follow laman sosial Utusan Online. Kemudian hantar video berdurasi 2 minit dan penerangan ringkas berkenaan video antara 100 hingga 150 patah perkataan dalam bahasa Melayu ke pautan www.muhibah.my.

Bagi penyertaan secara berkumpulan, ahli tidak boleh lebih lima orang. Keputusan juri muktamad dan video menjadi hak milik penganjur. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada sekretariat pertandingan di talian 03-92324428, 03-92324430 atau 011-19472064.