Setiap bulan empat kategori pemenang akan dipilih berdasarkan empat kaum terbesar iaitu Melayu, Cina, India dan Sabah/Sarawak yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Peserta perlu membuat video pendek bertemakan muhibah tidak lebih dua minit dan menyediakan penerangan video tersebut dalam 50 hingga 100 patah perkataan.

Pertandingan yang akan berlangsung selama setahun itu diadakan bertujuan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar selain menjadikan akhbar Utusan Malaysia sebagai satu wadah penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

#muhibah anjuran Utusan Malaysia dan Utusan Online itu dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Zaidi Yazid di Dewan Utusan, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Eng Wei Chun.

Noordin berkata, pertandingan tersebut diharap dapat menerapkan semangat keharmonian melalui intipati atau konsep cerita yang akan diterjemahkan oleh pelajar di dalam video pendek itu.

“Ia juga sejajar dengan maksud ‘muhibah’ itu sendiri yang membawa maksud persahabatan dan kemesraan.

“Selain itu secara tak langsung ia juga dapat memupuk semangat kerjasama berpasukan dan mengeratkan hubungan integrasi berbilang kaum,” ujarnya.

Sementara itu, Zaidi berkata, pihaknya menyambut baik pertandingan tersebut kerana pelajar turut diberi peluang untuk menulis iaitu memberi penerangan di dalam video itu yang secara tidak langsung mengasah bakat pelajar dalam bidang penulisan.

“Saya yakin selepas enam bulan dan setahun video-video tersebut dipaparkan di mana-mana sebagai rujukan dan akan menarik lebih ramai pelajar untuk menyertai pertandingan seperti ini,” ujarnya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web Utusan Online di www.utusan.com.my. - UTUSAN ONLINE