Menurut Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim, hasil pertemuan beliau dengan beberapa wakil jabatan berkenaan di sini hari ini memperlihatkan kesediaan sekolah-sekolah menengah di negeri ini untuk turut serta.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada JPNT atas komitmen tersebut untuk sama-sama menjayakan pertandingan video pendek itu dalam usaha menyemai serta memupuk semangat muhibah antara kaum.

"Kita ucapkan terima kasih atas kesediaan pihak JPNT yang bersedia sahut cabaran ini (sertai pertandingan video pendek muhibah). Kita juga sedia terima segala pandangan untuk penambahbaikan pertandingan ini," katanya.

Wahid menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan dan perbincangan dengan wakil JPNT yang diketuai Ketua Sektor, Sektor Pengurusan, Pembangunan, Kemanusiaan, Ngah Bidin di jabatan berkenaan, di sini hari ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung lebih dua jam bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu, turut hadir ialah Pengarang Media Baharu Utusan Malaysia, Borhan Abu Samah serta Ketua Pemasaran Wilayah Timur, Ahmad Faizi Amzah.

Selain itu, Wahid berkata, pihaknya juga menyambut baik beberapa pandangan daripada JPNT termasuk saranan agar salinan video penyertaan perlu juga dihantar untuk perhatian JPNT selain dikemukakan kepada Utusan Malaysia sebelum diadili.

Pertandingan video pendek itu akan berlangsung selama setahun mulai Januari ini dan peserta perlu menghasilkan video bertemakan muhibah berdurasi dua minit selain menyediakan penerangan menggunakan 50 hingga 100 patah perkataan.

Setiap bulan pemenang akan dipilih daripada setiap kategori empat kaum terbesar iaitu Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak dengan setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Penganjurannya turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan manakala syarikat swasta Orando Holdings Sdn. Bhd. sebagai penaja utama. - UTUSAN ONLINE