Video oleh Mohamad Athir Ismail

Perkongsian berkenaan dapat diterjemahkan menerusi cetusan kreativiti para pelajar sekolah itu dengan penghasilan video pendek untuk menyampaikan mesej perpaduan kepada masyarakat.

Guru Penyelaras Program, Hamzaisham Hamzah memberitahu, pertandingan sedemikian adalah peluang untuk pelajar mencungkil dan menunjukkan kebolehan mereka dalam penerbitan video.

“Sekarang pelajar terdedah dengan pelbagai kemudahan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan idea dan kreativiti.

“Pengaplikasian teknologi menjadi salah satu kemahiran bagi para pelajar yang boleh digunakan pada masa akan datang sama ada di universiti nanti ataupun dunia pekerjaan.

“Jadi, program ini menjadi medium pendedahan awal untuk mereka supaya mereka mampu cetuskan idea yang kreatif,” katanya kepada Utusan Online ketika sesi Penataran Video #muhibah KPM-Utusan di SMKPT hari ini.

Berikutan pelaksanaan program berkenaan, para pelajar berpeluang menceritakan pengalaman mereka di dalam kelas untuk dikongsikan kepada masyarakat.

Menurut Pelajar Tingkatan 5 SMKPT, Wan Amelia Natasha Wan Mhd. Kamal, sememangnya pertandingan video pendek ini adalah peluang yang ditunggu-tunggu untuk menyuarakan mesejnya tentang perpaduan.

“Saya suka hendak berkongsi tentang perpaduan di dalam kelas yang terdiri daripada rakan-rakan pelbagai kaum dan interaksi kami ketika belajar,” ujarnya.

Manakala bagi Pelajar Tingkatan 4, Niroshini Saravanan, peluang berkenaan dimanfaatkan oleh semua rakan sekelasnya untuk mempelajari cara penerbitan video.

“Perpaduan menjadi pengisian, yang penting kami belajar perkara baharu iaitu teknik penghasilan dan penyuntingan video,” katanya.

Sementara bagi, Pelajar Tingkatan 4, Chin Si Hui pula, semangat perpaduan di dalam kelas perlu disampaikan kepada masyarakat.

“Belajar secara berkumpulan di dalam kelas yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum memang menyeronokkan dan komunikasi antara kami wujud tanpa halangan kerana kami sama-sama belajar,” luahnya. - UTUSAN ONLINE