Guru Sekolah Menengah Ke­bangsaan (SMK) Taman Desaminium, Nor Azilah Maarof berkata, pelajar perlu memanfaatkan peluang ini untuk mempamerkan bakat dan kreativiti mereka dengan menghasilkan video pendek berkaitan muhibah dari persepsi mereka.

“Selain dapat pengalaman bertanding di peringkat kebangsaan, pelajar juga dapat menyampaikan mesej bagaimana kepelbagaian etnik dapat hidup secara harmoni sehingga menjadi simbol 1Malaysia menerusi video pendek yang boleh dirakam tanpa perlu peralatan canggih memadai dengan tele­fon pintar atau tablet sahaja,” katanya ketika ditemui di Sekolahnya di sini, baru-baru ini.

Pertandingan tajaan Orando Holdings ini menawarkan hadiah bulanan untuk empat pemenang setiap bulan dengan masing-ma­sing menerima RM1,000 seorang.

Penyertaan video pendek dua minit ini mesti asli, belum pernah dipertandingkan dan menggunakan bahasa Malaysia di samping perlu disertakan de­ngan penerangan tidak lebih 150 patah perkataan.

Sementara itu, lima pelajar Tingkatan 5, SMK Taman Desami­nium, Aaron Iskandar, Shreevany Mukundan, Siti Hajar, Seh Fei Faye dan Aida Sofea di bawah bimbi­ngan Nor Azilah giat me­nyiapkan jalan cerita, menulis skrip dan menjalani penggambaran.

Menurut Aaron, selepas dimaklumkan oleh guru bahawa pertandingan tersebut sudah dibuka untuk penyertaan, mereka berlima tanpa lengah merangka idea dan konsep video yang menepati kehendak penganjur.

“Merakam video memang aktiviti kegemaran kami malah kami sering bersama-sama dalam menjalankan pelbagai acara di sekolah justeru ini platform terbaik untuk kami menyerlahkan kreativiti dalam menghasilkan kandungan digital mengenai muhibah ini,” katanya.

Dia menambah, semua ahli kumpulan kini sudah diberi tugasan masing-masing bagi memastikan penyertaan mereka membuahkan hasil yang membanggakan sekolah.