Guru Penyelaras Program, Jamilah Ismail berkata, pendedahan ini membolehkan pelajar mempelajari teknik yang tepat dalam menghasilkan video.

“Pendedahan mengenai penataran video ini memberi peluang kepada pelajar untuk menghasilkan video yang berkualiti selain mendapat pengetahuan yang betul mengenai proses penyediaan video.

“Pertandingan ini merupakan usaha yang baik dan wajar dicontohi pihak lain kerana menyediakan platform kepada pelajar menyampaikan mesej perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas sesi Penataran Video #muhibah KPM-Utusan di SMKCBN di sini hari ini.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online yang bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Disember ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah secara percuma.

Sementara itu, Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Mohamad Fikri Rosly turut berkongsi ilmu dengan pelajar terlibat tentang kaedah pembikinan teknik rakaman, suntingan dan penulisan yang lebih tersusun serta mampu menghasilkan video yang lebih menarik dan berkualiti.

Katanya, penyertaan yang diterima daripada pelajar sangat menggalakkan dan akan meneruskan misi jelajah program penataran #muhibah ini ke sekolah-sekolah lain seluruh negara.

“Selain tips dan teknik, penekanan juga diberikan kepada kepentingan penceritaan dan tema muhibah itu sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE